Biasalah... sebelum terkenal, orang buat tak pandang pun dia ni.. Tapi sekarang?
Kecemerlangan atlet paralimpik negara meraih pingat dalam Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini disambut dengan begitu meriah semalam oleh rakyat Malaysia, namun terdapat kesedihan yang terpaksa dilalui sebelum mencapai kejayaan tersebut.
Kisah duka itu diceritakan oleh ketua jurulatih olahraga paralimpik negara, R. Jaganathan yang memberitahu dia sering diperlekeh oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sejak dilantik melatih atlet-atlet berkenaan.
Katanya, perkara tersebut menyebabkan dia berazam untuk membuktikan yang pihak-pihak berkenaan tidak layak untuk mendapat tempat dalam kalangan masyarakat atas perbuatan tidak berhati perut itu.
“Sudah 20 tahun saya menjadi jurulatih atlet normal, tetapi apabila diambil untuk mengendalikan atlet para, banyak pihak yang menyindir saya dengan tujuan untuk menjatuhkan diri saya.
“Ketika itu saya mengambil perkara tersebut sebagai satu cabaran dan mahu memastikan mereka yang memperlekehkan kami tiada tempat dalam masyarakat kita dengan mengharumkan nama negara,” katanya ketika ditemui dalam majlis sambutan atlet paralimpik di Pusat Kecemerlangan Sukan Olimpik Malaysia.
Sukan Paralimpik Rio baru-baru ini menyaksikan kontinjen Malaysia berjaya meraih tiga emas menerusi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 (cerebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20, lemah pembelajaran), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan satu pingat gangsa menerusi Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh T20).
Pada masa sama, Jaganathan turut meminta masyarakat terus memberi sokongan kepada atlet para kerana perkara itu terbukti boleh menghasilkan kejayaan.
“Ingin saya katakan, tidak ada seorang manusia pun mahu dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU). Sebagai manusia biasa, tolonglah mereka dengan cara apa sekalipun, sokonglah kami.
“Jika sokongan sebegini diteruskan, pastinya akan ada lagi pingat yang dibawa pulang menerusi kejohanan-kejohanan lain selepas ini kerana walaupun kami OKU, kami tetap melakukan yang terbaik untuk memastikan Negaraku berkumandang di dalam stadium,” jelasnya.
Jaganathan juga berasa terharu dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat setibanya kontinjen Paralimpik Malaysia ke tanah air kerana belum pernah lagi terjadi sebegitu sebelum ini.
“Kali ini kami melihat sambutan yang diberi, kami menangis kerana tidak sangka ada sokongan padu oleh masyarakat.
Setelah mendapat emas di Rio, mereka yang terserempak dengan kami di jalanan sudah mula kenal dan menghormati kami, menjadi satu kebanggaan kerana membuktikan yang kita setanding dengan negara lain,” katanya.
Sementara itu, Jaganathan juga bersyukur dengan kenaikan insentif 30 peratus yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin semalam iaitu kenaikan 10 peratus berbanding sebelum ini.
“Sekurang-kurangnya kami sudah mula diberikan pengiktirafan, tetapi paling penting untuk saya adalah melihat anak-anak (atlet-atlet dibawah bimbingannya) naik ke atas podium kerana itulah hadiah terbaik untuk saya setelah bertindak dengan hati yang bersih dan membantu mereka sebagai seorang ayah,” katanya.
sumber: http://www.utusan.com.my
0 Comments
JDT NEWS Membahas segala berita aktual malaysia.