TMJ MOHON MAAF KEPADA FAM, ONG KIM SWEE DAN CHRISTOPHER RAJ


KEPADA FAM, ONG KIM SWEE DAN CHRISTOPHER RAJ
Saya telah bercakap dengan ketua jurulatih JDT, Mario Gomez mengenai kenyataan beliau dan saya pun bersependapat yang sama. Saya mahu berkongsi sesuatu perkara dengan penyokong JDT. Kita hanya sebuah kelab kecil yang tidak perlu untuk mengkritik skuad kebangsaan atau FAM. FAM dan skuad kebangsaan mempunyai kepakaran yang lebih baik dalam usaha memperbaiki sukan bolasepak Malaysia dan mereka juga lebih berpengalaman. 

Mereka telah berjaya dan melaksanakan dengan baik sukan bola sepak Malaysia sejak 30 tahun yang lalu. Siapalah kita untuk berkata apa-apa? Seperti Christopher Raj yang merupakan rakan baik YB Khairy Jamaludin berkata, JDT hanya "membeli kejayaan". Jadi penyokong JDT harus Ingat bahawa kita adalah pasukan sederhana dan tak bagus. Saya juga ada menasihati semua orang dan jurulatih JDT yang mereka sebenarnya tidak perlu berkata apa-apa mengenai skuad kebangsaan kerana mereka mempunyai jurulatih yang sangat bagus dan cukup berpengalaman, Ong Kim Swee. Beliau sangat bagus dan itulah sebabnya FAM memilihnya. 

Jangan sekali-kali mempersoalkan FAM. Mereka cukup pakar dalam apa yang mereka lakukan. Mereka juga sangat konsisten. Jadi, saya menyeru kepada semua pihak pengurusan JDT untuk berdiam diri dan hanya memberikan tumpuan kepada tugasan yang perlu kita lakukan. Siapalah kita untuk berkongsi pendapat atau mengambil berat kepada sebuah organisasi yang sangat berpengalaman, yang penuh dengan orang-orang berpengalaman. Saya meminta maaf kepada FAM, Ong Kim Swee, dan Christopher jika kami dengan tidak sengaja menyinggung perasaan anda orang-orang besar.

DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Post a Comment

0 Comments